walaupun dah lame pose....
tapi den nak wat ucapan gak....
Selamat Berpuasa....Berpuasalah dengan JUJUR......
--------------------------------------------------------------------------
Post bawah ni den kopi paste dari blog kecek...
timo kasih cek !!!
Sedari kecil, kita banyak dilonggokkan dengan pelbagai pantang larang ketika berpuasa di bulan Ramadhan. Kita ditegah daripada melakukan itu dan ini, sehingga ramai yang menyangka bahawa amalan berpuasa ini merupakan suatu yang susah lagi memayahkan. Sedangkan Allah sendiri menjelaskan bahawa kewajipan puasa ini bukanlah bertujuan untuk memayah-mayahkan hambaNya seperti dalam firmanNya:timo kasih cek !!!
… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran, dan juga agar kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah: 185]
Di sini disenaraikan beberapa perkara yang menjadi pegangan masyarakat umum berkaitan puasa sedangkan dalil al-Quran dan al-Sunnah mengisyaratkan sebaliknya. Kesemua hujah dan dalil saya ‘copy and paste’ dari beberapa sumber yang berbeza-beza (akan disertakan diakhir tulisan ini insyaAllah), dengan sedikit pengolahan bahasa di mana perlu. Semoga kita beroleh manfaat bersama.
1. Mandi ketika berpuasa untuk menyegarkan badan.
Auta: Mandi ketika puasa adalah makruh.
Fakta: Tidak benar, bahkan mandi ketika berpuasa adalah HARUS. Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala Baginda disebabkan dahaga atau panas. Ini berdasarkan hadis sahih berikut:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku (Abu Bakar Bin ‘Abd al-Rahman): “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas” [ Hadith riwayat Imam Ahma dan Abu Daud dalam sunan mereka, juga Imam Malik dalam al-Muwatta’]
2. Korek hidung, telinga atau rongga-rongga yang berlubang.
Auta: Memasukkan apa saja benda ke dalam rongga yang berlubang adalah membatalkan puasa.
Fakta: Tidak ada dalil yang menunjukkan hukum sedemikian rupa. Sedangkan yang benar ialah perkara yang membatalkan puasa hanyalah berlegar antara tiga perkara; makan, minum, dan bersetubuh. Firman Allah Ta’ala:
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]
3. Penetapan waktu imsak iaitu kira-kira 5 hingga 10 minit sebelum masuk waktu Subuh.
Auta: Wajib atau sunat untuk berhenti makan dan minum sebelum masuk waktu imsak sebagai langkah berjaga-jaga.
Fakta: Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.” [ Sahih Bukhari : 617]
4. Makanan yang disunnahkan berbuka dengannya.
Auta: Disunnahkan makan benda-benda manis atau buah-buahan tempatan.
Fakta: Disunnahkan berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.Di dalam hadith daripada Anas katanya:
“Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab (kurma basah), sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar(kurma kering) dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air”. [Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan. Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini, lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah]
5. Merasai makanan dengan lidah.
Auta: Batal puasa bagi orang yang merasai makanan dengan lidah kerana hal itu seperti dia memakan makanan itu, tiada bezanya.
Fakta: Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma:
“Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” [Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152)]
6. Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub.
Auta: Seseorang yang berjunub saat masuknya waktu subuh dikira terbatal puasanya.
Fakta: Hal ini pernah berlaku kepada Rasulullah shallahu’alaihi wasallam, sedangkan baginda kemudiannya mandi, bersolat dan meneruskan puasa seperti biasa. Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma:
“Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa”. [Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109)]
7. Bolehkah bercumbu-cumbuan dengan isteri ketika puasa?
Auta: Tidak boleh, batal sekiranya bercumbu. Bukankah bulan puasa bulan menahan syahwat?!
Fakta: Hal ini mempunyai hukum yang berbeza-beza mengikut tahap kemampuan masing-masing. Bagi yang dapat mengawal gelojak nafsu agar dengan cumbuan itu tidak menjurus kepada persetubuhan, maka dipersilakan. Tapi, buat yang tidak mampu, maka dia dimakruhkan sama sekali. Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata:
“Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Baginda menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Baginda menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya””. [Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221)]
8. Menggosok gigi ketika sedang berpuasa.
Auta: Boleh menyebabkan batal atau kurang pahala puasa. Ditakuti tertelan ubat gigi berperisa strawberi.
Fakta: Tidak mengapa menggosok gigi bahkan digalakkan. Lagipun Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan, sedangkan gigi yang kuning melambangkan empunya diri yang kurang menjaga kebersihan. Rasulullah shalallahu'alaihi wasallam bersabda:
“Kalaulah tidak memberatkan umatku nescaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. [Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252)]
9. Lafaz niat puasa.
Auta: Wajib untuk melafazkan niat puasa iaitu “nawaitu shauma qhadin…”. Bagi yang tidak melafazkannya, maka puasanya tidak dikira kerana setiap perkara dimulakan dengan niat.
Fakta: Tiada lafaz niat puasa, ini hanyalah bid’ah yang diada-adakan. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya bahawa dia akan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka itu sudah cukup baginya.
Persoalannya, apakah seseorang yang mahu berpuasa perlu berniat setiap hari atau memadai dengan niat untuk sepanjang Ramadhan? Di sini saya petik takhrij dan komentar Dr Muhammad Fathi Ali, ahli panel Jabatan Hadith Al-Fikrah.net terhadap hadith berikut:
Daripada Hafsah isteri Rasulallah shallallahu’alaihi wasallam: Bahawasanya Rasulallah shallallahu’alaihi wasallam telah bersabda:
“Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum waktu fajar maka tiada puasa baginya (tidak sah)”. [dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnad (hadis no. 26500), Abu Daud dalam Sunan (hadis no.2454), at-Tirmizi dalam Sunan (hadis no.730), an-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (hadis no.2640,2641,2643), al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (hadis no. 7696,7697,7698,7701,7778,7826,), ad-Darimi dalam Sunan (hadis no. 1698) dan lain-lain dangan lafaz yang sedikit berbeza, semuanya dari jalan Hafsah radhiallahu’anha]
Beliau berkata,
“Hadis dari Hafsah ini tntg wajibnya niat puasa Ramadhan dilakukan pada waktu malam ini TIDAK SAHIH kepada Nabi. Ia dinilai Tidak Sahih oleh Ahmad, al-Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasaie, ad-Darimi, Abu Daud, Abu Hatim dan lain-lain Imam-imam hadis. (rujuk athar ilal hadis fi ikhtilaf Fuqaha, Dr Mahir Yasin al-Fahl)
Kata Ibn Hajar dalam Fathul Bari: "berlaku khilaf akan bersambung atau tidaknya hadis ini, dan yang rajih adalah tidak bersambung kpd Nabi (mauquf) sebagaimana tarjih Tirmizi dan Nasaie (Fathul Bari: 142/4).
Menurut syaikh al-Muhaddith Abdul Aziz at-Torifi dalam kuliahnya 'hadith2 dhaif seputar puasa', adalah tidak wajib niat puasa Ramadhan dilakukan pada malam hari, malah boleh dilakukan pada waktu dhuha, dan ini menguatkan qaul Malik yg mengatakan niat puasa Ramadhan boleh dilakukan dengan satu niat pada awal bulan (niat puasa satu bulan sekaligus) dan qaul Abu Hanifah yg membolehkan niat puasa ramadhan sampai tengah hari” [rujuk http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=6849/postdays=0/postorder=asc/highlight=puasa+ramadhan/start=0.html]
10. Tidur ketika sedang berpuasa.
Auta: Tidur orang puasa adalah ibadat.
Fakta: Memang benar terdapat hadith yang menyebut bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Namun, tiada satupun daripadanya yang sahih dan dapat dijadikan hujah. Kita ambil contoh hadith ini beserta takhrij dan komentar sekali lagi oleh Dr Muhammad Fathi Ali:
"Tidurnya orang yang berpuasa itu dianggap ibadah, dan diamnya merupakan tasbih, dan amalnya (diganjari) berlipat ganda, dan do'anya mustajab, sedang dosanya diampuni". [Riwayat : Baihaqy di dalam kitabnya Syu'abul Iman, dari jalan Abdullah bin Abi Aufa]
Hadith ini darjatnya sangat dha'if (lemah) atau Maudu’(palsu). Di sanadnya ada Sulaiman bin Umar An-Nakha'i, seorang pendusta. Rujukan : Silsilah Ahaadith Dhaifah wal Maudh'uah No. 653, Faidlul Qadir No. hadith 5125 , 9293.
Oleh itu, jika sesiapa yang asyik lena dibuai mimpi di siang hari Ramadhan sambil mengatakan bahawa itu adalah sunnah, katakan kepada "Anda telah diauta!"....
Semoga Allah mengurniakan hidayah buat kita semua.
Wallahua'lam.
--------------------------------------------------------------------------
Cheriooooo....73 de kamal...
~Dimana Teknologi Mengabadikan Kenangan~
Cheriooooo....73 de kamal...
~Dimana Teknologi Mengabadikan Kenangan~
No comments:
Post a Comment